Friday, July 10, 2009

Obertan lengkapkan perpindahan ketiga di Man Utd

Manchester United semalam mengumumkan pembelian Gabriel Obertan dari Bordeaux dengan bayaran £3 juta (RM17 juta) dalam misi membina sebuah pasukan yang kuat dengan meletakkan matlamat gemilang pada jangka masa panjang.

GABRIEL OBERTAN
Obertan melengkapkan perpindahan ketiga United untuk musim depan dengan bayaran £3 juta

Obertan, 20, akan menandatangani kontrak empat tahun selepas menjalani pemeriksaan kesihatan untuk menjadi pemain ketiga menyertai United selepas penyerang Wigan Athletic, Antonio Valencia dan Michael Owen yang berpindah secara percuma dari Newcastle United.

Sementara itu, penjaga gol United, Ben Foster, 26, sah menandatangani lanjutan kontrak selama empat tahun di Old Trafford.

Bagaimanapun, pendekatan pengurus United, Sir Alex Ferguson untuk tidak cuba memancing nama besar menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat kelab itu walaupun terdapat desas desus mengatakan Red Devils berminat mendapatkan penyerang Barca, Samuel Eto'o.

Barangkali Ferguson dilihat seakan serik mendapatkan pemain-pemain bertaraf bintang selepas terpaksa akur dengan pemergian Cristiano Ronaldo ke Real Madrid dengan rekod yuran perpindahan tertinggi dunia dan penyerang Argentina, Carlos Tevez ke Manchester City.

Namun realitinya, Ferguson sebenarnya enggan membayar harga keterlaluan untuk mendapatkan seseorang pemain, tetapi pendekatan untuk bergantung harap kepada pemain muda kali ini jelas akan berdepan penelitian amat rapi.

Kehadiran Obertan itu menyaksikan United memiliki lima pemain sayap di bawah umur 23 tahun yang masih belum terbukti kemampuan mereka di peringkat tertinggi.

Tambahan Park Ji Sung, 28 dilihat masih belum mampu menggalas tugasan sebagai pemain sepenuh masa dalam kesebelasan utama.

Di Santiago Bernabeu beberapa hari lalu, lebih 80,000 penyokong hadir menyaksikan Ronaldo ketika diperkenalkan secara rasmi.

Tetapi pastinya tidak ramai yang pernah mendengar nama Obertan dan meraikannya tanpa sebarang persoalan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails