Saturday, January 16, 2010

Torres rayu Liverpool beli pemain berkualiti


FERNANDO Torres mahu pemilik kelab bola sepak Liverpool membeli pemain yang berkualiti jika mahu terus bersaing dalam Liga Perdana England.

Penyerang Liverpool, Fernando Torres menggesa pemilik kelab itu agar membawa masuk lebih ramai lagi pemain berkualiti ke Anfield dalam usaha membantu mengukuhkan pasukan yang kini bergelut dengan prestasi merudum. Pemain tersebut merayu kepada pemilik THe Reds, warga Amerika Syarikat itu, Tom Hicks dan George Gillett selepas kekalahan memalukan di tangan kelab divisyen dua, Reading pada perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA, kelmarin.
Torres yang kini terpaksa direhatkan selama enam minggu ekoran kecederaan lutut ketika beraksi pada perlawanan menentang Reading manakala kapten, Steven Gerrard serta seorang lagi rakan sepasukan, Yossi Benayoun turut dibelenggu kecederaan.
''Kini terpulang kepada pemilik kelab. Mereka perlu membawa masuk pemain agar peristiwa memalukan ini tidak akan berulang lagi.
''Jika kami mahu bersaing dengan Manchester United dan Chelsea kami perlu melakukan sesuatu untuk menguatkan skuad. Kami memerlukan lebih ramai pemain kelas pertama dan kami juga tidak boleh melepaskan pemain terbaik meninggalkan kelab.
''Ia sangat mengecewakan. Kami telah menamatkan dengan menduduki tangga kedua musim lalu dan musim ini sepatutnya menjadi satu titik tolak kepada pasukan untuk melakukan sesuatu yang hebat.
''Manchester United telah menjual Carlos Tevez dan Christiano Ronaldo sementara Chelsea tidak menandatangani mana-mana pemain pun tetapi ia tidak menjejaskan mereka,'' kata pemain kelahiran Sepanyol itu kepada media Britain, semalam.
Liverpool kini menduduki tangga ketujuh dalam Liga Perdana England dengan 33 mata daripada 20 perlawanan dan mereka tertinggal 12 mata di belakang pendahulu Chelsea manakala lima mata di belakang Manchester City yang berada di tempat keempat - tempat terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara.
Liverpool kini memulakan kempen mereka untuk memburu kejuaraan Liga Europa menentang kelab dari Romania, Unirea Urziceni pada 18 Februari ini setelah gagal dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
''Pada awalnya Liga Europa bukanlah sasaran kami untuk menang musim ini tetapi ia kini telah menjadi realiti. Sekarang kami perlu memenanginya,'' ujar Torres.
Katanya, The Reds tidak mempunyai pilihan selain memastikan Liga Europa menjadi milik mereka dan sekiranya ia tidak berlaku, musim ini adalah yang terburuk terpaksa dilalui Liverpool.
''Kami perlu meningkatkan mutu permainan, pikul tanggungjawab dan pastikan kedudukan empat tempat teratas, memandangkan untuk memburu kejuaraan liga tidak mungkin dapat digapai. Apa yang boleh dilakukan ialah perbaiki situasi buruk ini,'' tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails