Sunday, January 10, 2010

Rosicky penyelamat Arsenal


PEMAIN Arsenal, William Gallas (kiri) mencabar penjaga gol Everton, Tim Howard dalam perlawanan Liga Perdana England di Stadium Emirates, London semalam. Keduaa-dua pasukan seri 2-2.

Jaringan Tomas Rosicky pada minit terakhir permainan menyelamatkan Arsenal daripada tumpas di gelanggang sendiri apabila berjaya mengikat Everton 2-2 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana England semalam. Arsenal membelasah Everton 6-1 di Goodison Park ketika kedua-dua pasukan bertemu buat kali pertama musim ini, Ogos lalu, namun semalam, mereka dipaksa bangkit daripada ketinggalan dua kali di Stadium Emirates.
Pemain tengah Everton, Leon Osman mengejutkan tuan rumah dengan membuka jaringan pasukan pelawat menerusi tandukan pada minit ke-12.
Semalam, Everton memberi peluang kepada penyerang Los Angeles Galaxy, Landon Donovan untuk membuat kemunculan pertamanya selepas dipinjamkan 10 minggu.
Bintang Amerika Syarikat itu mengambil sepakan sudut yang kemudian ditanduk Osman untuk gol pembukaan.
Arsenal bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1. Pemain Brazil, Denilson melepaskan rembatan rendah yang terkena kaki Osman sebelum menewaskan penjaga gol, Tim Howard pada minit ke-28.
Pasukan tuan rumah kemudian bermula garang sebaik babak kedua bermula dan mendominasi saingan awal, namun permulaan yang baik belum menjamin keputusan yang baik.
Kesilapan yang dilakukan benteng pertahanan mereka dihukum sepenuhnya oleh Everton untuk menghasilkan gol kedua, 10 minit sebelum tamat permainan.
Jaringan berpunca menerusi gerakan solo pemain tengah, Steven Pienaar yang kemudian melambung bola menewaskan penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia.
Ketika kemenangan hampir terbayang di mata pemain-pemain Everton, Arsenal yang tidak pernah mengaku kalah akhirnya berjaya mencari gol penyamaan menerusi rembatan cantik Rosicky yang menewaskan Howard.
Arsenal kini mengekori pendahulu, Chelsea dengan tiga mata di belakang selepas mengumpul 43 mata daripada 20 perlawanan.
Terdahulu, lima lagi perlawanan yang dijadual berlangsung semalam terpaksa ditunda akibat salji tebal.
Perlawanan tersebut melibatkan pertemuan Hull City menentang Chelsea, Burnley-Stoke, Fulham- Portsmouth, Sunderland- Bolton dan Wigan bertemu Aston Villa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails