Friday, June 26, 2009

United mahu beli bintang Atletico

Sergio Aguero


Manchester United bersedia melancarkan tawaran untuk membeli penyerang Atletico Madrid, Sergio Aguero, lapor akhbar tempatan, The Independent, semalam.

Selepas kecewa gagal mendapatkan bintang penyerang Sepanyol, David Villa dari Valencia, pengurus United, Alex Ferguson beralih tumpuan kepada Aguero.

Pemain antarabangsa Argentina itu dianggarkan bernilai 45 juta pound (RM261 juta).

Ferguson memperluaskan usaha mencari penyerang baru kerana bakal kehilangan dua tonggak serangannya, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez, musim depan.

Sementara itu, penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas menafikan dipancing oleh United untuk beraksi di Old Trafford.

Tegas penjaga gol Sepanyol itu, dia tidak mendengar sebarang usaha daripada United mahu pun kelab lain untuk mengeluarkannya dari Bernabeu.

Akhbar Sepanyol dan England sebelum ini melaporkan, United bersedia untuk melabur semula keuntungan 80 juta pound (RM464.19 juta) daripada penjualan Ronaldo kepada Real Madrid.

Bagaimanapun, Casillas ketika dipetik oleh akhbar AS, menjelaskan: "Ketika ini, sama sekali tiada sebarang usaha, baik daripada United atau kelab lain untuk mendapatkan saya.

"Malah, ejen saya dan Real Madrid sendiri tidak pernah memaklumkan bahawa terdapat tawaran. Tiada siapa yang menghubungi saya.

"Ia cuma spekulasi... spekulasi begini mudah timbul apabila tiba musim perpindahan.

Penjaga gol berusia 28 tahun itu telah menyarung jersi Real Madrid hampir dua dekad, sejak menyertai Real daripada akademi.

Bagaimanapun dia membuat penampilan sulung bersama skuad senior pada 1999.

Pada Februari 2008, Casillas menandatangani kontrak baru yang akan mengikatnya bersama gergasi bola sepak Sepanyol itu sehingga musim 2016/17.

"Saya punya kontrak di Madrid sehingga 2017 dan mahu melengkapkannya. Semua orang tahu Real sentiasa di hati saya.

"Saya menyertai Real Madrid sejak saya kanak-kanak dan Madrid adalah rumah saya,'' ujar ketua pasukan Sepanyol itu lagi.

Casillas juga meninggalkan mesej kepada peminat-peminat Real yang mungkin bimbang dia akan meninggalkan kelab itu, dengan berkata: "Peminat harus bertenang. Tiada sebarang tawaran langsung daripada Manchester (United) atau kelab lain. Saya berasal dari Sepanyol dan dari Madrid, itu saja.''

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails