Sunday, July 11, 2010

Siapa juara?




Apa jua keputusan yang membabitkan Belanda dan Sepanyol, satu sejarah akan tercatat di bumi Afrika Selatan - sebuah pasukan baru akan muncul menjuarai Piala Dunia 2010.
Sama ada Oranje atau La Roja, salah satu pasukan itu akan dinobatkan sebagai negara kelapan untuk mendakap piala keagungan sukan bola sepak.
Pertemuan akhir ini sebenarnya layak untuk dikatakan cukup seimbang kerana kedua-dua pasukan mempunyai ramai pemain berkelas dunia.
Sepanyol yang dilihat mempunyai pemain gabungan Barcelona dan Real Madrid semakin menunjukkan persembahan mengagumkan sejak bangkit daripada kekalahan 0-1 kepada Switzerland.
Sementara Belanda merupakan pasukan paling konsisten mencatatkan enam kemenangan berturut-turut dan berpeluang menyamai rekod Brazil yang menjuarai Piala Dunia pada tahun 1970.
Rekod pertemuan jelas memihak kepada Belanda dengan empat kemenangan sementara Sepanyol pula menang dalam tiga perlawanan dengan satu seri.
Pun begitu, ramai penganalisis agak cenderung memilih Sepanyol untuk muncul juara berbanding Belanda ekoran corak persembahan yang konsisten dan mempunyai keseimbangan di segenap posisi.
Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque, bijak mengadunkan kekuatan skuad itu dengan meletakkan Xavi dan Andres Iniesta sebagai perancang serta mengharapkan David Villa bertindak sebagai penyudah.
Taktik Sepanyol mudah untuk difahami iaitu mengawal penguasaan bola dan memperlahankan rentak pasukan lawan seperti membenam Jerman dan Portugal.
Belanda yang sering menggunakan formasi 4-2-3-1 dalam perlawanannya perlu menang dalam penguasaan bahagian tengah jika mahu merencatkan serangan Sepanyol yang selesa mengamalkan pendekatan hantaran pendek dalam gerakan.
Namun, ia bukan satu tugas mudah kerana Xavi Alonso dan Sergio Busquets sudah tentu memberikan kawalan ketat kepada Wesley Sneijder, Arjen Robben dan Dirk Kuyt untuk bergerak secara bebas.
Justeru, Nigel de Jong dan Mark van Bommel perlu mengimbangi kekuatan Sepanyol dengan mengikat Xavi dan Iniesta daripada bermaharajalela melakukan gerakan pemusnah kepada Belanda.
Villa sering menjadi penyelamat Sepanyol dalam setiap perlawanan, boleh diharapkan berbanding penyerang Belanda, Robin van Persie yang hanya mampu menjaringkan satu gol dalam kempen Piala Dunia kali ini.
Di bahagian pertahanan, kelebihan ternyata memihak Sepanyol kerana dianggotai ramai pemain berprofil tinggi antaranya Carlos Puyol, Gerard Pique dan Sergio Ramos berbanding Belanda.
Ditambah kehadiran Iker Casillas sebagai penjaga gol, Sepanyol cukup kebal di bahagian belakang tetapi kemampuan Maarten Stekelenburg yang merupakan penjaga gol muda yang berpotensi besar tidak kurang hebatnya dan mampu menjadi faktor penentu kejayaan Belanda.
Perlawanan ini juga akan menjadi pertarungan peribadi Sneijder dan Villa dalam perebutan Kasut Emas selepas kedua-duanya telah menjaringkan lima gol.

                                                       BOLA YANG AKAN DIGUNAKAN PADA PERLAWANAN MALAM INI.


Jerman tempat ketiga Piala Dunia 2010


Sami Khedira menjaringkan gol lewat permainan untuk membolehkan Jerman mencatat kemenangan 3-2 ke atas Uruguay dan memenangi tempat ketiga Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.
Khedira menanduk masuk sepakan sudut Mesut Ozil pada minit ke-82 seterusnya memusnahkan harapan Uruguay untuk menewaskan Jerman buat kali pertama selepas 82 tahun.
Gol pertama Jerman disumbangkan oleh Thomas Mueller pada minit ke-18 sebelum Edison Cavani menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.
Diego Forlan meletakkan Uruguay di depan pada minit ke-51 namun Marcel Jensen menjadikan kedudukan terikat 2-2 lima minit kemudian.

Belanda perlekeh reputasi Sepanyo

Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk terus melancarkan perang psikologi ke atas Sepanyol menjelang aksi final Piala Dunia 2010 di Stadium Soccer City awal pagi esok.
Secara terbuka, van Marwijk menganggap kejayaan Sepanyol yang mara ke pentas final pada kempen Piala Dunia kali ini banyak dipengaruhi dengan corak permainan skuad The Oranje.
Jelasnya, corak permainan skuad La Roja itu tidak banyak bezanya dengan rentak kelab gergasi Sepanyol, Barcelona yang pernah mendapat sentuhan legenda bola sepak Belanda seperti Rinus Michels, Johan Cruyff dan Louis van Gaal.
"Sepanyol sebenarnya banyak dipengaruhi dengan corak permainan Barcelona yang mana enam atau tujuh pemain mereka ketika ini pernah beraksi di bawah kendalian Cruyff dan Michels.
"Disebabkan itu, pujian seharusnya diberikan kepada kualiti bola sepak Belanda yang ternyata mampu mempengaruhi pasukan-pasukan handalan lain," kata van Marwijk.

VAN MARWIJK (tengah) memberi arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan di Johannesburg kelmarin.


Tambah Marwijk, meskipun Sepanyol dikatakan telah meniru corak serta gaya permainan Belanda, namun dia tetap optimis anak-anak buahnya mampu mempamerkan persembahan lebih baik berbanding skuad bimbingan Vicente del Bosque itu.
"Semua telah menyaksikan sendiri bagaimana cara Sepanyol bermain tetapi jika dibuat penilaian, kekuatan mereka sebenarnya adalah tekanan yang diberikan kepada pihak lawan jika mereka kehilangan bola.
"Perkara tersebut yang kami cuba untuk lakukan ketika ini bagi mengimbangi kekuatan mereka," tambah van Marwijk.
Ditanya mengenai Sepanyol yang dilabel sebagai pasukan pilihan bagi memenangi aksi final tersebut, van Marwijk tidak mahu menghiraukan perkara tersebut.

Sneijder, Villa ada misi peribadi


VILLA telah meledak lima gol pada kempen Piala Dunia 2010.

Kelibat perancang Belanda, Wesley Sneijder dan penyerang Sepanyol, David Villa bakal mencuri tumpuan pada aksi final Piala Dunia 2010 di Stadium Soccer City awal pagi esok. Bagi kedua-dua pemain tersebut, matlamat mereka hanya satu iaitu membantu pasukan masing-masing mencipta sejarah muncul selaku pasukan Eropah pertama yang menjuarai kempen Piala Dunia di luar dari benua tersebut.
Namun gelaran anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak tetap menjadi idaman mereka.
Setakat ini, Sneijder dan Villa berkongsi lima gol selepas mereka mempamerkan sentuhan penyudah berbisa bagi membantu pasukan masing-masing mara sehingga ke pentas final pada kempen yang julung kalinya dilangsungkan di benua Afrika.
Perhitungan pada aksi final itu nanti bukan sahaja bagi mencari juara Piala Dunia edisi ke-19 di Afrika Selatan, malah gelaran penjaring terbanyak juga menjadi buruan dua pemain tersebut.
Bagi Villa, ini merupakan detik penuh bermakna buat dirinya selepas kejayaan membantu skuad La Roja mara ke final Piala Dunia dan ia mungkin lebih manis sekiranya dinobatkan selaku penjaring terbanyak sepanjang kempen kali ini.
"Saya kini berasa sangat gembira selepas mengharungi situasi yang penuh menakjubkan sepanjang karier saya sebagai pemain bola sepak profesional.
"Namun saya sentiasa mengharapkan bahawa saya mampu membawa Sepanyol muncul juara Piala Dunia kali ini," jelas Villa.
Sneijder pula menganggap, kejayaan Belanda muncul juara Piala Dunia lebih bermakna berbanding dia dinobatkan selaku penjaring terbanyak.
"Tidak kira siapa yang menjaringkan gol, apa yang lebih penting kami mencipta kemenangan seterusnya menjuarai Piala Dunia di Afrika Selatan.
"Jika saya dapat menjaringkan gol pada aksi final nanti, ia sudah dianggap satu bonus," katanya.
Related Posts with Thumbnails