Tuesday, June 30, 2009

Brazil juara Piala Konfederasi



PEMAIN-PEMAIN Brazil meraikan kejayaan menjuarai Piala Konfederasi selepas menewaskan Amerika Syarikat 3-2 pada perlawanan akhir di Ellis Park, Johannesburg, semalam. -


JOHANNESBURG - Juara bertahan, Brazil bangkit daripada ketinggalan 0-2 dengan menjaringkan tiga gol pada babak kedua untuk menewaskan Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan akhir semalam, sekali gus menjuarai Piala Konfederasi sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, AS yang mengejutkan Sepanyol pada separuh akhir, hampir melakukan kejutan selepas jaringan Clint Dempsey dan ketua pasukan, Landon Donovon meletakkan mereka mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Penjaga gol AS, Tim Howard menyelamatkan turut cemerlang apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya sebelum penyerang, Luis Fabiano menambah jaringan kelimanya dalam kejohanan apabila memecah kebuntuan sebaik sahaja perlawanan separuh masa kedua bermula dan menanduk masuk gol penyamaan minit ke-74.

Ketua pasukan Brazil, Lucio melengkapkan kebangkitan hebat pasukan Brazil apabila dia melompat tinggi untuk menanduk masuk sepakan sudut Elano enam minit sebelum perlawanan tamat.

Perlawanan tersebut adalah kemuncak kepada kejohanan yang penuh kejutan, aksi terbaik dan keghairahan penonton, sekali gus meramalkan kejohanan Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan akan berlangsung dengan lancar.

Jurulatih Brazil, Dunga pada sidang akhbar memberitahu, dia sangat gembira dengan persembahan pasukannya.

"Walaupun ketinggalan 2-0 pasukannya masih lagi terus berjuang. Kami memberitahu mereka pada masa rehat untuk bermain menggunakan serangan di bahagian sayap dan sentiasa sabar.

"Kami melakukannya, kami sudah berada bersama sejak 29 hari dan kami telah meletakkan sasaran untuk muncul juara.

"Ia memang sukar untuk bangkit dari ketinggalan 2-0, ia bukan mudah tetapi jika anda mempunyai pemain yang komited yang tidak pernah menyerah kalah anda akan mempunyai peluang dan kami berjaya melakukannya pada separuh masa kedua. Kami menunjukkan tahap tertinggi profesionalisma," katanya.

Brazil menang ke atas AS 3-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan tetapi berdepan dengan saingan sukar dalam perlawanan akhir.

"Perasaan bercampur-baur dengan kekecewaan dan kebanggaan. Tidak ada apa yang bermain difikiran ia adalah kekalahan yang sukar dihadapi selepas mendahului 2-0. Saat yang paling dirasai ialah melepaskan gol terlalu awal pada separuh masa kedua seterusnya membangkit semangat pasukan Brazil," kata jurulatih AS, Bob Bradley

AS mengejutkan Brazil dengan mendahului melalui jaringan yang tidak dijangka oleh Dempsey hasil hantaran lintang Jonathan Spector dan bola sepakannya gagal diselamatkan Julio Cesar.

Lebih menghairankan AS berjaya menggandakan jaringan selepas 27 minit.

Donovan berjaya membawa bola keluar dari kawasannya sebelum membuat hantaran kepada Ricardo Clark, yang membawa bola di sebelah kiri dan menghantar semula kepada Donovan.

Sentuhan pertamanya mengelirukan Ramires, memberi penyerang itu ruang untuk merembat menggunakan kaki kiri dan melepasi Julio Cesar bagi jaringan antarabangsa ke-40 dalam 114 perlawanan.

Brazil pernah mengalahkan AS 14 kali dalam 15 pertemuan tetapi penjaga gol, Howard tenang membantu pasukannya dengan menyelamatkan beberapa percubaan.

Brazil ternyata menguasai perlawanan tetapi hanya memberi ancaman selepas seminit memulakan saingan pada separuh masa kedua apabila Luis Fabiano memusingkan badan dan merembat masuk melalui celah kaki pertahanan AS dengan hanya satu gerakan.

Brazil hampir menyamakan kedudukan, bagaimanapun Howard merebahkan badan menyelamatkan tandukan Lucio dan agak bernasib baik apabila tandukan Kaka yang sudah melepasi garisan berjaya dikeluarkan penjaga gol tersebut.

Kaka meluru melepasi Spector di sebelah kiri sebelum membuat hantaran kepada Robinho. Bagaimanapun percubaannya terkena palang sebelum bola lantunan tersebut disudahkan melalui tandukan Fabiano.

Kaka Pemain Terbaik Piala Konfederasi


terbaik... Pemain Brazil, Luis Fabiano (kiri) menjulang trofi 'Kasut Emas' sebagai penjaring terbanyak manakala Kaka menerima anugerah Pemain Terbaik selepas perlawanan akhir Piala Konfederasi di Stadium Ellis Park, Johannesburg, semalam. - AP


Warga baru Real Madrid, Kaka dianugerahkan Bola Emas selepas terpilih sebagai Pemain Terbaik Piala Konfederasi.

Rakan sepasukan Kaka, Luis Fabiano yang menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir menentang Amerika Syarikat (AS), semalam di tempat kedua dan pertahanan AS, Clint Dempsey tempat ketiga.

Fabiano juga terpilih menerima Kasut Emas selepas muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan jumlah lima gol manakala penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard sebagai penerima anugerah Sarung Tangan Emas atas persembahannya sepanjang kejohanan itu.

Pada majlis itu, Kaka juga memberikan penghormatan kepada rakan sepasukan kerana membawa Brazil untuk merangkul gelaran Piala Konfederasi dan membantunya memenangi Pemain Terbaik dalam kejohanan itu.

"Saya sungguh gembira dapat bermain dalam peringkat akhir.

"Paling penting, seperti mana yang telah saya bagi tahu sebelum ini, saya hanya bermain untuk Brazil kerana mereka adalah juara dan tanpa mereka, saya mungkin tidak mendapat anugerah ini. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan.

"Dengan rasa hormat kepada kehidupan baru saya di Madrid, saya akan bercakap tentang perkara ini esok (hari ini) apabila saya secara rasmi menjadi pemain Real Madrid.

"Saya berjaya mendapatkan piala pertama dan berharap kemenangan ini akan berterusan pada masa akan datang untuk fasa hidup saya yang baru," kata Kaka mengenai pengalamannya di Real Madrid.

Monday, June 29, 2009

Keluarga bincang pengebumian JACKO




PEMINAT meletakkan jambak bunga, belon dan kad ucapan takziah di Encino, Los Angeles, California, semalam.

Spekulasi Michael dikebumi secara Islam

LOS ANGELES: Keluarga Michael Jackson berhimpun semalam untuk membincangkan pengebumian Raja Pop itu, dengan spekulasi dalam internet menyatakan ia mungkin diadakan secara Islam.

Abang Michael, Tito Jackson berkata beliau dengan beberapa anggota keluarga sedang menimbangkan sama ada untuk mengadakannya secara awam atau satu upacara persendirian.


Menurut TMZ.com, laman web yang menjadi organisasi berita pertama melaporkan kematian Michael Khamis lalu (pagi Jumaat waktu Malaysia), keluarga Raja Pop itu berhimpun semalam dan sumber berkata satu pengumuman mengenai pengebumian penyanyi itu akan dibuat awal minggu ini.


Upacara pengebumian Michael jika diadakan secara awam dijangka menjadi terbesar dalam sejarah industri hiburan dengan menarik kehadiran ribuan orang termasuk selebriti terkenal.

Ramai menjangka upacara itu akan membayangkan pengebumian Elvis Presley pada 1977 dan akan mencetuskan luahan emosi seperti pengebumian Puteri Diana pada 1997.

AYAH Michael, Joe Jackson (kanan), Jesse Jackson dan anaknya Yusef Jackson di kediaman keluarga penyanyi pop itu.

Berpuluh selebriti dijangka menghadirinya termasuk Sir Paul McCartney, Madonna, Sir Elton John dan Elizabeth Taylor.

Upacara itu akan disiarkan secara langsung dan liputan turut dibuat oleh laman web.

Sementara itu, ada laman web menjangkakan upacara akan diadakan secara Islam, berikutan laporan yang menyatakan Michael memeluk agama itu di Los Angeles, November tahun lalu.

Abangnya, Jermaine yang memeluk Islam pada 1989, dijangka memainkan peranan utama jika keluarga Jakson memutuskan upacara pengebumian itu secara Islam.

Gambar (kiri); ADIK Michael, Rebbi Jackson tiba di kediaman keluarga untuk menziarahi penyanyi pop itu, semalam. (kanan); Katherine Jackson melambaikan tangan kepada peminat anaknya di Encino, Los Angeles, semalam.
Penyanyi kontroversi berusia 50 tahun itu mengalami masalah jantung terhenti ketika di rumah tengah hari Khamis (waktu Los Angeles) dan doktor peribadi cuba menyedarkannya tetapi gagal.

Permainan Ronaldo mirip George Best: Pele



Ronaldo berdiri di sebelah Pele

Legenda Brazil, Pele memuji Cristiano Ronaldo dengan membandingkan pemain itu dengan bintang legenda Manchester United, George Best.

Menurut akhbar Sunday Mirror, terlalu banyak pemain dibandingkan dengan Best tetapi Pele menjelaskan Ronaldo adalah antara pemain yang paling hampir mencapai tahap Best.

Bekas pemain kebangsaan Brazil itu juga menjelaskan dia juga adalah peminat Ronaldo dan berasa teruja melihat pemain Portugal itu beraksi.

“Cristiano sering mengingatkan saya kepada seorang pemain yang hebat- George Best.

“Dia adalah pemain yang paling menyerupai Best ketika dia berada pada tahap terbaiknya kerana corak permainan, kepantasan dan skil kedua-dua pemain ini hampir sama.

“Saya gemar menonton Ronaldo beraksi. Dia adalah pemain yang sangat berbakat,” kata Pele.

Ronaldo bakal diumumkan secara rasmi di Santiago Bernabeu pada 6 Julai ini setelah menandatangani kontrak enam tahun bersama Real Madrid.

Ejen dakwa United berminat dapatkan Benzema


E-mail

Ejen Karim Benzema mendakwa Manchester United berminat untuk menandatangani penyerang Lyon itu untuk musim panas ini.

Pemain muda Perancis berbakat itu ketika ini dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford dan Real Madrid walaupun Lyon bertegas mahu mengekalkan khidmatnya sebagai aset berharga kelab.

Pada Khamis lalu, kelab Ligue 1 itu mengakui bahawa Real pernah bertanya mengenai status Benzema, manakala United pula masih kekal senyap mengenai sasaran perpindahan pemain mereka.

Kelab elit Inggeris itu ketika ini sedang meninjau mana-mana pemain berbakat bagi memenuhi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Santiago Bernabeu.

KARIM BENZEMA
Walaupun menjadi buruan kelab-kelab ternama dunia, Lyon bertegas enggan melepaskan Benzema dari Stade Gerland

Namun ejen Karim Djaziri menegaskan bahawa Sir Alex Ferguson sudah menunjukkan tanda-tanda berminat dengan kliennya itu supaya Benzema dilepaskan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) di mana Ferguson menyifatkan perpindahannya itu adalah penting untuk masa depan pemain tersebut.

"Ferguson mahukan Karim musim panas ini, bagaimanapun bayaran perpindahannya tidak akan melebihi €40 juta (RM198 juta).

"Dia baru saja berumur 21 tahun, satu-satunya perpindahan termahal bagi pemain berusia 21 tahun ialah Robinho yang berpindah ke Real Madrid.

"Karim tidak boleh melampaui nilai David Villa yang diletakkan melebihi nilai €40 juta euro. Persoalannya ialah bukannya mengenai jika dia menandatangani untuk menyertai satu daripada kelab terbesar tetapi bila?" kata Djaziri kepada Europel.

Komen Djaziri itu dibuat tiga hari selepas beliau menegaskan bahawa Benzema tidak akan meninggalkan Stade Gerland untuk sekurang-kurangnya setahun lagi.

Sunday, June 28, 2009

Berakhirnya fenomena JACKO


Michael Jackson

DIA dilihat aneh dan penuh misteri. Tapi dia juga mencipta hits, punya persona, gaya dan ego, juga bakat yang besar, digelar ikonik muzik dan disanjung sebagai Raja Pop Dunia.

Kini semua pemujaan itu berkubur bersama-samanya. Membawa sekali kehidupan suka duka dan pahit manis yang dilaluinya selama hampir 51 tahun dia menghuni dunia ini.

Michael Joseph Jackson yang awalnya mula dikenali bersama empat saudaranya - The Jackson 5- nyata mencipta legasinya dengan penuh kemasyhuran, juga kehancuran.

Kematian mengejut pada petang Khamis (pagi Jumaat waktu tempatan) lalu akibat kegagalan fungsi jantung membawa sekali gemilang dan tragedi diri yang berpanjangan; yang pelik lagi aneh, yang adakalanya melucukan daripada kemilau kemuncak jaya seorang penyanyi yang dikecapi sejak tahun 80-an.

Penghibur legenda itu menyatukan muzik hitam-putih yang merobohkan tembok kaum di MTV serta mendominasi papan carta lagu serta hadir di pentas dengan gaya persembahan mengagumkan.

Memang siapa yang tidak mengenali si Wacko Jacko, nama jolokan yang sepelik dan seaneh wajah buatannya.

Namun muziknya mencipta fenomena. Album Thriller (1982) yang mengandungi lagu hits blockbuster - Beat It, Billie Jean dan Thriller - nyata mencipta satu kejayaan terunggul buat dirinya selepas era Jackson 5.

Terjual lebih 109 juta unit di seluruh dunia, menjadikan album terbitan Quincy Jones itu sebagai album yang mendapat penjualan paling banyak dunia dan merangkul kedudukan tertinggi papan carta lagu selain Beat It dan Billie Jean meraih lapan anugerah Grammy, sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum itu, di samping banyak anugerah lain.

Namun segala titik peluh dan kehebatan seorang revolusioner muzik semakin terhakis dan kemudiannya lebur akibat perlakuan pelik dan aneh yang diciptanya sendiri.

Neverland Ranch, biarpun bukan lagi menjadi miliknya, kediaman dan taman tema yang diagung-agungkan yang sering menjadi tempat berkumpul Jackson bersama kanak-kanak itu sebenarnya hampir meranapkan kerjaya seninya.

Semuanya gara-gara pertuduhan salah laku kepada insan-insan kecil yang disayanginya dan yang menyanjungi dirinya.

Kes itu juga menyemarakkan khabar angin tentang kesukaan dirinya terhadap budak-budak muda. Kerjaya dan imejnya tercalar dan dalam masa yang sama menghadapi masalah kewangan yang amat serius.

Pun begitu dibebaskan atas 10 pertuduhan melibatkan pencabulan ke atas seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun lalu menyuntik semangat baru kepada dirinya.

Berjuta-juta peminat Raja Pop itu di seluruh dunia menantikan konsertnya malah selepas memenangi pertikaian di mahkamah itu, dilaporkan jualan album Jackson meningkat 40 peratus.

Pada saat dia mula bangun dan namanya kembali meniti di bibir masyarakat dunia, dengan jualan tiket-tiket konsert yang laku bak pisang goreng panas, Raja Pop itu tiba-tiba meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.

Malah pada saat kematiannya di kediaman sewanya di Bel-Air, Los Angeles (L.A) itu, Jackson sedang giat membuat persediaan untuk sebuah kemunculan semula - dia dijadualkan muncul mengadakan 50 persembahan, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, di London dengan kemunculan sulung pada 13 Julai depan.

Dan dikhabarkan latihan itu adalah bagi merealisasikan impian untuk sebuah lagi konsert ekstravaganza yang bakal mengimbau semula keajaiban seorang Michael Jackson!

Kejutan dan misteri

Sehingga berita ini ditulis, belum ada pengesahan terhadap punca sebenar kematian namun ia cukup mengejutkan dunia.

Para peminat fanatik meratapi kematiannya, berkunjung ke kediaman keluarga yang sudah lama ditinggalkan di Gary, Indiana, juga memenuhi perkarangan Pusat Perubatan UCLA, semuanya semata-mata memberi penghormatan terakhir buat Jackson.

Biarpun dikatakan berpunca daripada kegagalan fungsi jantung, kematian itu turut mengundang sebuah misteri.

Biarpun ikon pop itu dilaporkan tidak sedarkan diri dan tidak bernafas, para paramedik cuba menyelamatnya dan bergegas membawanya ke hospital yang jauhnya ‘hanya enam minit memandu’ sebelum disahkan mati.

Kematian Jackson akibat kegagalan fungsi jantung merupakan sesuatu yang tidak dijangkakan kerana ia menyerang tanpa amaran.

Fungsi jantung yang berhenti tiba-tiba boleh disebabkan oleh serangan jantung atau masalah berkaitan jantung yang lain.

Pada sepanjang kariernya di puncak, keadaan kesihatan Jackson sebenarnya turut menjadi bualan sehangat lagu-lagu hitsnya.

Kematian yang tidak disangka pada usianya 50 tahun itu turut mengungkap kembali sejarah-sejarah masalah kesihatan yang dihadapi Jackson.

Ini termasuk pembedahan plastik, dimasukkan ke hospital secara misteri dan laporan pengambilan pelbagai pil.

Awal 90-an, pakar kulit Jackson mendedahkan bahawa penyanyi itu menghadapi masalah kulit yang dikenali sebagai vitiligo yang membuatkan kulitnya bertompok putih.

Raja Pop Dunia itu juga dilaporkan ketagihan ubat penahan sakit yang mula diambilnya selepas kulit kepalanya terbakar ketika menjayakan iklan komersil, Pepsi pada 1984.

Malah ketika menghadapi perbicaraan kes pencabulan pada 2005, Jackson beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Tahun lepas, seorang penulis biografi mendakwa artis legenda itu menderita sejenis penyakit pernafasan yang jarang ditemui dan memerlukan transplan paru-paru namun pegawai serantanya menafikan.

Bualan mengenai keadaan kesihatan Jackson juga hangat diperkatakan semula beberapa bulan lalu apabila wakilnya menangguhkan beberapa siri lawatan ke London dengan alasan penyanyi itu perlu melakukan latihan bagi siri konsertnya di situ.

Pun begitu, pengetua Centerstaging, tempat Jackson melakukan latihan, Johnny Caswell memberitahu artis itu kelihatan sangat lemah ketika mengadakan latihan tetapi amat keras bekerja.

Bekas pegawai serantanya, Michael Levine pernah memberitahu bahawa tekanan emosi, fizikal, undang-undang, kewangan dan kecelaruan kerohanian sentiasa menyelubungi kehidupan Jackson.

“Ia umpama toksid,” kata Levine.

Namun bagi Quincy Jones yang melonjakkan nama Jackson menerusi Thriller, ”Saya tidak mampu berkata. Dia seorang penghibur yang handal dan legasinya akan diingati. Saya kehilangan adik hari ini dan separuh nyawa saya pergi bersamanya.”

Islamkah Michael?

Terkenal dengan gerak tari, juga kaca mata aviator dengan sarung tangan sekuin dan jaket ala-tentera serta seluar ketatnya, Jackson merupakan penghibur paling mengujakan bagi generasinya.

Biar banyak kisah-kisah negatif yang melingkari kehidupannya namun status dirinya sebagai seorang Muslim menjadi antara pertanyaan ramai peminatnya.

Sementelah sebelum ini Jackson pernah dilapor sudah memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mikaeel yang bermaksud ‘rezeki”.

Jackson dilaporkan oleh akhbar The Sun pada tahun lepas telah mengadakan majlis memeluk Islam di rumah seorang rakannya yang juga penggubah muzik untuk album Thriller, Steve Porcaro di Los Angeles.

Turut hadir pada majlis itu ialah penyanyi Yusuf Islam, pencipta lagu David Wharnsby dan penerbit album Philip Bubal.

Biarpun status agamanya itu masih tidak diketahui namun abangnya, Jermaine memberitahu yang adiknya itu memang telah menunjukkan kecenderungan terhadap agama suci itu sejak awal 90-an lagi.

Jackson mula tertarik dengan ajaran agama suci ini apabila Jermaine memeluk Islam pada 1989 menggunakan nama Muhammad Abdul Aziz.

“Saya menghadiahkan banyak buku tentang keindahan Islam kepadanya selepas saya kembali dari menunaikan haji.

“Beliau banyak bertanya tentang Islam dan saya menceritakan keindahan dan ketenangan yang saya lalui selepas bergelar penganut agama ini kepadanya,” kata Jermaine yang dipetik oleh akhbar Daily Telegraph tahun lepas.

Ronaldo rasmi milik Real Madrid

Cristiano Ronaldo

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo secara rasmi menjadi milik Real Madrid apabila menandatangani kontrak enam tahun bernilai 93 juta pound (RM462 juta), umum gergasi bola sepak Sepanyol itu semalam.

Bekas bintang Manchester United itu bakal menerima 13 juta euro (RM65 juta) setahun bersama Real, menjadikan dia pemain bola sepak bergaji paling tinggi di dunia.

Real Madrid dalam satu kenyataan di laman web rasminya, berkata: "Real Madrid CF dan Manchester United telah menandatangani perjanjian muktamad untuk perpindahan Cristiano Ronaldo ke kelab Sepanyol ini pada 1 Julai.

"Pemain itu akan kekal di Real Madrid selama enam musim.''

Perjanjian Ronaldo bakal menyaksikan dia mengatasi pendapatan penyerang Inter Milan, Zlatan Ibrahimovic, yang memegang rekod gaji tertinggi dunia ketika ini dengan 12 juta euro (RM60 juta) setahun.

Ronaldo, 24, menerima bayaran sekitar 7.5 juta euro (RM37.2 juta) setahun di Old Trafford.

Friday, June 26, 2009

Real semakin hampir beli Albiol


Real Madrid dilaporkan bersetuju membeli pemain pertahanan Valencia, Raul Albiol; urusan pembelian ketiga kelab itu musim ini.

Kelmarin, media Sepanyol melaporkan Real bersetuju membayar Valencia 15 juta euro (RM73.9 juta) untuk mendapatkan pemain pertahanan Sepanyol itu yang berusia 23 tahun dan bermain dalam Piala Konfederasi.

"Saya tidak mengetahui langsung tentang perkara itu, sedangkan saya masih dalam pasukan kebangsaan.

"Sekarang bukan masa yang terbaik untuk membicarakan hal itu," kata Albiol selepas kekalahan Sepanyol 0-2 dalam separuh akhir menentang Amerika Syarikat, semalam.

Albiol yang juga pernah bermain di Getafe merupakan pemain sepanyol pertama dibeli Presiden Real, Florentino Perez.

Real sebelum ini telah membawa Cristiano Ronaldo dan Kaka ke Santiago Bernabeu.

Albiol adalah pemain dalam Kejohanan Eropah musim panas lalu dan telah membuat 15 kemunculan di peringkat antarabangsa.

Pemain tengah itu mempunyai ketinggian 187 sentimeter dan bermain 126 perlawanan dalam empat musim di Mestalla.

Tevez pertimbang tiga tawaran


Carlos Tevez yang menolak untuk kekal bersama juara bola sepak Liga Perdana England, Manchester United masih mempertimbangkan tawaran daripada tiga kelab.

Penasihat penyerang Argentina itu bagaimanapun hanya mendedahkan dua daripada kelab tersebut; Manchester City dan Chelsea tetapi enggan mendedahkan satu lagi kelab yang turut berminat mendapatkan Tevez.

"Sekarang, kami sedang memperhalusi cadangan daripada City, Chelsea dan satu lagi kelab,'' ujar penasihat Tevez, Kia Joorabchian dalam temu bual bersama stesen Radio Del Plata, semalam.

Menurut Joorabchian, keputusan mengenai masa depan Tevez akan ditentukan dalam masa 10 hari lagi selepas dia berbincang dengan pemain itu dan agennya, Adrian Ruocco.

Minggu lalu, Tevez menolak tawaran bernilai AS$41 juta (RM145.9 juta) dengan kontrak lima tahun daripada Manchester United.

Tawaran itu menjadikan kontrak pinjaman dua tahunnya bersama juara England itu ditukar kepada perpindahan tetap.

Dia sebelum ini sudahpun menolak perpindahan ke Liverpool kerana kelab itu merupakan musuh ketat United.

Joorabchian langsung tidak memberi petunjuk ke manakah penyerang Argentina itu akan pergi, musim depan.

United mahu beli bintang Atletico

Sergio Aguero


Manchester United bersedia melancarkan tawaran untuk membeli penyerang Atletico Madrid, Sergio Aguero, lapor akhbar tempatan, The Independent, semalam.

Selepas kecewa gagal mendapatkan bintang penyerang Sepanyol, David Villa dari Valencia, pengurus United, Alex Ferguson beralih tumpuan kepada Aguero.

Pemain antarabangsa Argentina itu dianggarkan bernilai 45 juta pound (RM261 juta).

Ferguson memperluaskan usaha mencari penyerang baru kerana bakal kehilangan dua tonggak serangannya, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez, musim depan.

Sementara itu, penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas menafikan dipancing oleh United untuk beraksi di Old Trafford.

Tegas penjaga gol Sepanyol itu, dia tidak mendengar sebarang usaha daripada United mahu pun kelab lain untuk mengeluarkannya dari Bernabeu.

Akhbar Sepanyol dan England sebelum ini melaporkan, United bersedia untuk melabur semula keuntungan 80 juta pound (RM464.19 juta) daripada penjualan Ronaldo kepada Real Madrid.

Bagaimanapun, Casillas ketika dipetik oleh akhbar AS, menjelaskan: "Ketika ini, sama sekali tiada sebarang usaha, baik daripada United atau kelab lain untuk mendapatkan saya.

"Malah, ejen saya dan Real Madrid sendiri tidak pernah memaklumkan bahawa terdapat tawaran. Tiada siapa yang menghubungi saya.

"Ia cuma spekulasi... spekulasi begini mudah timbul apabila tiba musim perpindahan.

Penjaga gol berusia 28 tahun itu telah menyarung jersi Real Madrid hampir dua dekad, sejak menyertai Real daripada akademi.

Bagaimanapun dia membuat penampilan sulung bersama skuad senior pada 1999.

Pada Februari 2008, Casillas menandatangani kontrak baru yang akan mengikatnya bersama gergasi bola sepak Sepanyol itu sehingga musim 2016/17.

"Saya punya kontrak di Madrid sehingga 2017 dan mahu melengkapkannya. Semua orang tahu Real sentiasa di hati saya.

"Saya menyertai Real Madrid sejak saya kanak-kanak dan Madrid adalah rumah saya,'' ujar ketua pasukan Sepanyol itu lagi.

Casillas juga meninggalkan mesej kepada peminat-peminat Real yang mungkin bimbang dia akan meninggalkan kelab itu, dengan berkata: "Peminat harus bertenang. Tiada sebarang tawaran langsung daripada Manchester (United) atau kelab lain. Saya berasal dari Sepanyol dan dari Madrid, itu saja.''

AS lakar kejutan terbesar



BOLOS... Penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas gagal menahan bola rembatan pemain Amerika Syarikat, Clint Dempsey (kanan) dalam saingan separuh akhir Piala Konfederasi di Bloemfontein, Afrika Selatan, semalam. Gambar kecil menunjukkan pelbagai rakaman aksi perlawanan semalam yang menyaksikan Amerika Syarikat menang 2-0.

Amerika Syarikat melakar kemenangan terhebat mereka dalam tempoh 60 tahun apabila menumpaskan juara Eropah, Sepanyol 2-0 untuk melangkah ke perlawanan akhir bola sepak Piala Konfederasi, semalam.

Jaringan Jozy Altidore dan Clint Dempsey menamatkan rekod dunia Sepanyol yang sebelum ini mencatat 15 kemenangan berturut-turut dan mengakhiri rekod 35 perlawanan tanpa kalah, rekod yang dikongsi bersama Brazil.

Kekalahan Sepanyol kepada Amerika Syarikat, pasukan yang nyaris tersingkir di peringkat kumpulan merupakan kekalahan terbesar dalam sejarah bola sepak sejak beberapa tahun ini.

Begitupun perlawanan semalam meninggalkan sedikit memori pahit buat jurulatih Amerika, Bob Bradley apabila anaknya yang juga pemain tengah, Michael Bradley dibuang padang, tiga minit sebelum tamat permainan.

Bradley merupakan pemain Amerika Syarikat ketiga dibuang padang dalam kejohanan ini dan kini dia bakal terlepas aksi akhir menentang Brazil atau tuan rumah, Afrika Selatan, Ahad ini.

Keseluruhannya, ini adalah persembahan terbaik Amerika Syarikat sejak mengejutkan England 1-0 pada Piala Dunia 1950 di Brazil.

Ia juga merupakan kali pertama mereka berjaya mengalahkan pasukan nombor satu dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sejak mengalahkan Brazil pada 1998.

Keputusan tersebut lebih bermakna kerana Amerika Syarikat tewas dalam dua perlawanan pembukaan mereka di peringkat kumpulan, dan hanya mara ke separuh akhir selepas membenam Mesir 3-0 dalam saingan terakhir, pada ketika Itali tunduk 0-3 kepada Brazil.

Fakta bahawa Amerika Syarikat kini berada dalam perlawanan akhir merupakan ganjaran kepada keazaman, semangat juang serta semangat sepasukan tinggi yang dipamer setiap pemainnya, sekali gus menggagalkan Sepanyol menambah koleksi kejuaraan.

Pujian juga harus diberikan kepada barisan pertahanan mereka seperti Jay DeMerit, Oguchi Onyewu dan Carlos Bocanegra yang mempamer aksi luar biasa dalam mematahkan serangan Sepanyol, yang dibarisi pemain hebat seperti Fernando Torres, David Villa, Xavi Hernandez, Xavi Alonso dan ramai lagi.

"Kemenangan ini adalah usaha sepasukan. Mengalahkan pasukan hebat seperti Sepanyol adalah satu pencapaian yang sangat besar.

"Kami bermain segigih yang boleh, semua orang memainkan peranan. Sekarang, kami akan mengambil masa beberapa jam untuk berehat sebelum membentuk semula pasukan bagi menghadapi perlawanan akhir. Kami sangat teruja ketika ini,'' ujar Bradley.

Rakan sejawat Bradley, Vicente Del Bosque, yang telah membimbing Sepanyol mencatat 13 kemenangan berturut-turut sejak muncul juara Eropah 2008 berkata, kekalahan sesuatu yang amat pahit untuk ditelan.

"Sudah terlalu lama kami tidak pernah kalah dan kami seperti tidak biasa lagi dengan kekalahan.

"Setiap kekalahan amat menyakitkan. Hari ini, kami memerlukan sentuhan terakhir. Kami punya banyak peluang tetapi mereka (Amerika Syarikat) benar-benar menutup pintu kami,'' kata Del Bosque.

MU akan merasmikan baju barunya 16 julai 2009



Stokin baru MU
Seluar baru MU
Baju lengan pendek baru MU
Baju lengan panjang baru mu

Baju kedua penjaga goal mu

Baju penjaga goal baru Mu
Ferdinand memakai baju baru MU

Saturday, June 20, 2009

Manakah bakal menjadi jersi man utd untuk musim 09/10



Chong Wei berjaya elak jumpa Lin Dan


Datuk Lee Chong Wei menepati sasaran dengan melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia semalam, namun bukan juara Olimpik dan dunia dari China, Lin Dan yang akan menjadi lawannya di Stadium Bung Karno, Senayan hari ini.

Sebaliknya, pemain No. 1 dunia itu bakal menentang seorang lagi pemain China, Chen Jin, yang mengejutkan rakan senegaranya itu 18-21, 21-17, 21-4.

Chong Wei pula tidak berdepan banyak masalah untuk melepasi saingan suku akhir apabila mudah mengetepikan bintang Korea Selatan, Park Sung Hwang 21-9, 21-13.

Jaguh perseorangan negara itu kini berada di landasan terbaik untuk merampas kembali gelaran yang dimenangi pada 2007, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Singapura.

Turut melangkah ke separuh akhir perseorangan lelaki adalah jaguh tuan rumah dan naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro yang menyingkirkan pemain Hong Kong, Chan Yan Kit 18-21, 21-17, 21-10.

Sementara itu pasangan negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif mengalami kekecewaan kedua dalam tempoh dua minggu, apabila gagal mempertahankan kejuaraan beregu lelaki Terbuka Indonesia selepas disingkirkan juara Seluruh England, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung dari Korea 21-10, 21-15.

Bagaimanapun, cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$250,000 (RM884,000) itu diteruskan oleh beregu utamanya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Chong Wei ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, kemenangan itu memberi keyakinan kepada beliau untuk bermain lebih baik pada perlawanan seterusnya.

"Selepas kekalahan di Terbuka Singapura, saya kini kembali yakin dengan diri sendiri dan dapat bermain dengan baik," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Chen Jin, Chong Wei berkata, dia telah lama tidak menentang pemain berkenaan dan akan berbincang dengan jurulatih Rashid Sidek yang melatihnya buat sementara waktu sebelum beliau mendapat jurulatih baru iaitu Hendrawan bulan hadapan.

Dalam pada itu Chong Wei memberitahu, dia juga ada bertemu dengan Hendrawan dan telah mendapat tip-tip daripada bakal jurulatihnya itu.

Ketika ditanya apakah dia gementar jika terpaksa bertemu perseorangan tuan rumah Sony Dwi Koncoro di peringkat akhir, dia berkata, ia tidak akan memberi tekanan kepada beliau.

"Walaupun penyokong Indonesia terkenal dengan semangat mereka, ia tidak akan menjejaskan tumpuan kepada permainan saya," katanya.

Friday, June 19, 2009

Lawan kami mula guna taktik kotor: Alonso




ALONSO (jersi merah) bertembung dengan pertahanan Iraq, Salam Shaker dalam saingan Kumpulan A di Stadium Free State, kelmarin yang berkesudahan Sepanyol hanya menang 1-0.

BLOEMFONTEIN (Afrika Selatan): Perancang utama Liverpool, Xabi Alonso beranggapan bahawa lebih ramai lawan bakal menggunakan taktik negatif untuk menyekat kemaraan mereka menyedari Sepanyol kini antara pasukan terbaik dunia ketika ini.

Hakikat itu terpancar berpandu kepada gelagat Iraq yang dipimpin Bora Milutinovic dalam saingan Piala Konfederasi, kelmarin yang menggunakan lima pemain di benteng untuk menghalang gempuran berbahaya daripada penyerang kembar, David Villa dan Fernando Torres.

Taktik lawan dari Asia itu berjaya membendung corak menyerang semula jadi Sepanyol sehingga jaringan penting oleh Villa pada babak kedua yang memberi kemenangan 1-0 dan tiket ke separuh akhir.


“Ia sukar untuk mengatasi benteng lima pemain. Tetapi kami tetap gemar bermain dengan pesaing seperti ini untuk mencari jalan merobek masuk dan menjaringkan gol,” kata Alonso yang menjadi sasaran Real Madrid tetapi dipercayai akan terus kekal di Liverpool.

Sepanyol - pasukan dalam ranking teratas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) akan muncul pasukan negara yang pertama untuk memenangi 15 perlawanan antarabangsa berturut-turut andai dapat menewaskan Afrika Selatan, esok dan juga mampu menyamai rekod tanpa kalah Brazil dalam 35 perlawanan.

Apapun, pasukan ini jelas memukau tontonan ketika ini dengan amalan bola sepak satu sentuhan

serta corak menyerang yang membutirkan hasil apabila muncul juara Euro 2008.

Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque yang mengemudi barisan yang sudah merakamkan 14 kemenangan berturut-turut menghambur pujian ke atas taktik pertahanan Iraq yang berkesan walaupun dia tidak gemar dengan gelagat lawan itu.

“Mereka mempunyai maruah sendiri dan membuat kami sukar mencari rentak dalam perlawanan. Kami bermain mengikut buku dan itulah caranya anda melakukan untuk menembusi pertahanan seperti ini,” katanya.

Thursday, June 18, 2009

Ronaldo 'Raja Gaji'



Cristiano Ronaldo

Cristiano Ronaldo bakal menjadi penerima gaji tertinggi dengan bayaran 13 juta euro (RM63.7 juta) setahun, sebaik perpindahan dari Manchester United ke Real Madrid selesai, lapor akhbar Marca semalam.

Pemain Terbaik Dunia itu juga sudah melakar sejarah bola sepak dengan bakal menjadi pemain termahal dunia selepas United bersetuju menjualnya ke Real menerusi rekod 94 juta euro (RM451.5 juta).

Menurut Marca, perjanjian Ronaldo bakal menjadikan dia 'Raja Gaji' yang baru, mengatasi rekod Zlatan Ibrahimovic yang menerima bayaran 12 juta euro (RM58.7 juta) dari kelab Itali, Inter Milan.

Bayaran yang diperoleh bintang muda berusia 24 tahun itu di Old Trafford ketika ini adalah 7.5 juta euro (RM36.8 juta) setahun.

Di Real, gaji bersihnya (selepas ditolak cukai) dilaporkan sebanyak 9 juta euro (RM44 juta), jauh lebih tinggi daripada yang dinikmati oleh penyerang veteran, Raul - 6 juta euro (RM29.3 juta).

Menurut penasihat kewangan Ernst and Young, pemain-pemain bola sepak di Sepanyol menikmati cukai istimewa, di mana mereka hanya perlu membayar 24 peratus cukai pendapatan berbanding 43 peratus yang perlu dibayar pemain Eropah lain.

Sementara itu pengerusi Real, Florentino Perez memberitahu akhbar harian Publico bahawa wang yang dibelanjakan untuk membeli Ronaldo dan bintang Brazil, Kaka dari AC Milan merupakan satu 'pelaburan' yang bakal membawa pulangan besar.

Jelas Perez, gergasi bola sepak Sepanyol itu dijangka menikmati keuntungan sehingga 400 juta euro (RM1.96 bilion) dengan memiliki kedua-dua pemain dalam skuad.

Bank Portugal, Espirito Santo antara syarikat korporat terawal menunjukkan respons dengan kemasukan Ronaldo di Real apabila membeli iklan muka penuh dalam Marca, yang menunjukkan pemain itu tersenyum sambil membawa beg tangan. Di bawah gambarnya pula tertera keterangan "Di sinilah wang saya disimpan"

Friday, June 5, 2009


Ticket Prices

MU price

Milan perlu jual Kaka, Chelsea tidak berminat

KAKA

Presiden AC Milan, Silvio Berlusconi dan pengerusinya, Adriano Galliani mengakui, gergasi bola sepak Itali itu terpaksa menjual Kaka untuk menyelesaikan masalah kewangan serta hutang kelab itu.

"Milan mempunyai imbangan kewangan yang sukar dibayangkan dengan mengalami kerugian 50-60 juta euro (RM247-RM295 juta) setahun.

"Kali ini, kami tidak mampu lagi menanggung kerugian,'' kata Berlusconi, yang juga Perdana Menteri Itali.

Berlusconi dalam temuramah dengan stesen Telelombardia TV turut mengakui, Milan sebenarnya mahu mengekalkan Kaka, namun mereka juga hanya mahukan pemain yang benar-benar berminat dengan AC Milan."

"Kaka merupakan orang muda yang amat luar biasa, tetapi jika memikirkan kariernya yang singkat memang wajar baginya untuk memikirkan tentang faktor kewangan.

"Jika kami menaikkan gaji Kaka, maka gaji keseluruhan pemain dalam pasukan ini juga perlu dinaikkan dan Milan tidak punya kemampuan untuk melakukannya,'' kata Berlusconi.

Gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid hampir pasti menjadi destinasi baru Kaka selepas pesaing utama mereka, Chelsea semalam menafikan cuba mengatasi tawaran 65 juta euro (RM322 juta) yang dikemukakan Real.

Akhbar Itali, La Gazzetta dello Sport dan Corriere dello Sport melaporkan Galliani berada di Madrid, Selasa lalu untuk bertemu bapa dan pengurus Kaka, Bosco Leite bagi menyelesaikan urusan perjanjian.

Selepas empat jam berunding dengan presiden Real, Florentino Perez, persetujuan dicapai dan Kaka ditawarkan gaji 9.5 juta euro (RM47 juta) setahun untuk lima musim, lapor akhbar Gazzetta lagi.

Namun, beberapa jam kemudian, akhbar-akhbar di Britain pula melaporkan bahawa Chelsea mahu mengatasi tawaran Real dan menawarkan 73.5 juta pound (417.65 juta) kepada Milan, manakala Kaka ditawarkan gaji 10 juta pound (RM57 juta) setahun.

Chelsea, yang baru mengikat kontrak dengan bekas jurulatih Milan, Carlo Ancelotti bagaimanapun menafikan laporan itu dan menegaskan mereka tidak pernah membuat tawaran kepada Milan untuk membeli Kaka, sambil menyifatkan semua laporan tidak benar.

Kenyataan Chelsea itu disambut gembira oleh Perez, yang menganggap Real kini hanya menunggu masa untuk membawa masuk Kaka dan memulakan pembentukan era kedua galactico. Namun, dia mengakui belum ada wang yang berpindah tangan setakat ini.

"Kenyataan Chelsea itu memberi kelebihan kepada kami. Jika mereka tidak bersaing, maka sudah tentu kami punya peluang lebih cerah. Lagi pun, kami mempunyai hubungan baik dengan Milan.. ia memudahkan sebarang perjanjian dilakukan, dan lebih penting lagi pemain itu sendiri berminat untuk beraksi di sini,'' kata Perez kepada stesen tv Sepanyol, Antena TV.

Semalam, kira-kira 30 penyokong Milan berhimpun di luar pejabat kelab Serie A itu bagi membantah perpindahan Kaka, situasi yang sama ketika pemain itu dikaitkan dengan Manchester City, Januari lalu.

Kaka kini berada di Brazil untuk menyertai skuad kebangsaan negaranya menghadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Konfederasi.

Sebelum berlepas pulang, perancang utama Brazil itu menegaskan, dia gembira berada di Milan.

Aon penaja baru jersi Manchester United


Manchester United semalam mengumumkan syarikat broker insurans yang berpengkalan di Chicago, Amerika Syarikat, Aon Corporation menjadi penaja jersi mereka selama empat tahun.

Logo Aon akan menghiasi jersi merah United selama empat tahun bermula daripada musim 2010-11, menggantikan syarikat insurans Amerika, AIG.
Juara Liga Perdana England itu tidak mendedahkan jumlah sebenar penajaan, namun akhbar-akhbar Britain melaporkan ia bernilai 80 juta pound untuk tempoh empat tahun.
Jika laporan tersebut benar, maka jumlah itu adalah 40 peratus lebih banyak daripada yang dibayar oleh AIG dan 17 peratus lebih banyak daripada yang diterima oleh gergasi bola sepak Jerman, Bayern Munich dengan memiliki syarikat telefon, T-Home sebagai penaja jersi mereka.
"Pengumuman hari ini jelas mengukuhkan lagi posisi kami sebagai salah satu kelab terbesar dalam bola sepak dunia,'' kata Ketua Eksekutif United, Davil Gill.
Pada sidang akhbar menerima telefon semalam, Ketua Eksekutif Aon, Greg Case enggan mengulas mengenai terma perjanjian.
United, yang mendominasi bola sepak England sejak 16 tahun lalu, menyamai rekod Liverpool dengan memiliki 18 kejuaraan Liga Perdana.
Malah, kejayaan merangkul kejuaraan elit Liga Juara-Juara Eropah dua kali dalam tempoh sedekad turut menjadikan nilai kelab itu kini mencecah AS$1.8 bilion (RM6.3 bilion), menurut Forbes Magazine.
Kelab England itu menanggung beban hutang yang besar ketika dibeli oleh jutawan Amerika, Malcolm Glazer pada 2005, namun ia tetap medium yang menarik penaja untuk membawa jenama mereka ke seluruh dunia.
AIG menerima jaminan daripada kerajaan Amerika Syarikat pada September lalu, dan empat bulan kemudian mereka mengumumkan untuk tidak menyambung perjanjian empat tahun dengan United yang akan berakhir musim depan.
United bagaimanapun masih perlu memakai jersi dengan logo AIG sehingga Mei, 2010.
Related Posts with Thumbnails